Remaja Maut, Dua Motosikal Bertembung Di Beaufort

BEAUFORT: Seorang remaja maut selepas motosikal yang dinaiki bersama rakannya bertembung dengan sebuah lagi motosikal dalam kejadian di Kampung Kota Klias Kecil, di sini, petang semalam.

Dalam kemalangan itu, mangsa dikenali Mohd Amir Amiduin, 18, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah manakala 3 yang lain cedera ringan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Mohammad Hasbullah Nenggok berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu jam 5.58 petang.

Katanya sepasukan 8 pegawai dan anggota serta kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Beaufort dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 19 kilometer dari balai.

“Kemalangan melibatkan 2 buah motosikal jenis Yamaha LC135 bertembung dengan Modenas CT100.

“Terdapat 4 orang mangsa terlibat. Seorang daripadanya dilaporkan tidak sedarkan diri di tempat kejadian dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di hospital.

“Manakala 3 orang mangsa berusia antara 18 tahun hingga 30 tahun mengalami kecederaan diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke hospital menaiki jentera EMRS dan ambulans untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi ditamatkan jam 6.42 petang. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *