Hajiji Minta Penjelasan PDRM Pindah Anggota Bermasalah Ke Sabah

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor

KOTA KINABALU : Sabah menyifatkan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memindahkan sembilan anggotanya yang dipercayai terbabit dengan kes peras ugut ke Sabah dan Sarawak harus mendapat pandangan daripada kerajaan negeri terlebih dulu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau meminta agar perkara terbabit dibincangkan bersama kerajaan negeri terlebih dulu sebelum dilaksanakan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri berkata, pihaknya memandang serius tindakan dilakukan PDRM itu.

“Saya memandang serius perkara ini walaupun tindakan itu mungkin sebagai prosedur atau tindakan disiplin yang diambil jabatan terhadap anggota mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hajiji berkata, beliau akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada PDRM mengenai perkara terbabit.

Baru-baru ini, media melaporkan Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi dilaporkan berkata, sembilan anggota yang sebelum ini disiasat kerana dipercayai terbabit kes pemerasan ahli perniagaan di Gombak, Selangor mengenai pemilikan dadah ditempatkan untuk bertugas di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, siasatan terhadap anggota terdiri daripada konstabel hingga sub inspektor itu masih dijalankan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *