Sabah Lepasi Angka 200 Kes Baharu Covid-19 Hari Ini

Masidi Manjun berkata sebanyak 206 daripada 208 kes yang direkodkan hari ini adalah dalam kategori 1 dan kategori 2 manakala dua kes dalam kategori 4.

KOTA KINABALU: Jumlah kes harian Covid-19 di Sabah melepasi angka 200 apabila sebanyak 208 kes baharu direkodkan, hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, jumlah berkenaan meningkat sebanyak 16 kes berbanding semalam.

Katanya, Kota Kinabalu mencatat peningkatan kes tertinggi iaitu sebanyak 104 kes, meningkat 33 kes berbanding semalam.

“Hampir 85% daripada kes baharu di Kota Kinabalu adalah melalui jangkitan sporadik.

“Lima daerah lain mencatatkan jangkitan baharu dua angka, iaitu Penampang 30 kes, Sandakan (23), Lahad Datu (12), Papar (11) dan Tuaran (10).

“Jumlah daerah yang tidak mencatat jangkitan baharu bertambah daripada 10 semalam kepada 13 hari ini termasuk lapan daerah yang mencatatkan jangkitan sebelum ini.

“Lima daerah yang bebas daripada jangkitan semalam turut merekodkan kes baharu hari ini termasuk Lahad Datu dengan 12 kes,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Masidi yang juga jurucakap negeri berkaitan Covid-19 berkata, sebanyak 206 daripada 208 kes yang direkodkan hari ini adalah dalam kategori 1 dan kategori 2 manakala dua kes dalam kategori 4.

“Jaga diri jaga keluarga dengan mematuhi semua SOP (prosedur operasi standard) khususnya amalan pemakaian pelitup muka setiap kali berhimpun atau berada dikhalayak ramai,” katanya. -FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *