Tipu Projek Naik Taraf Jalan Raya Bernilai RM1.93 Juta Di Sabah, ‘Datuk’ Yusri Diburu Polis

‘Datuk’ Yusri Yusuf diburu polis terbabit penipuan projek naiktaraf jalan raya tidak wujud. – Foto Ihsan Polis

KOTA KINABALU: Lelaki diburu selepas terbabit dalam lapan kes penipuan membabitkan projek naik taraf jalan raya yang tidak wujud dengan anggaran kerugian mencecah RM1.93 juta.

Lelaki yang dikenali sebagai ‘Datuk Yusri Yusuf’ itu dikatakan melakukan penipuan dengan mendakwa mampu mendapatkan kelulusan bagi projek naik taraf jalan di beberapa daerah di Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, bagi mendapatkan projek berkenaan, mangsa diminta membuat bayaran pendahuluan antara RM30,000 hingga RM650,000.

“Semua mangsa yang terpedaya kemudiannya membuat transaksi pembayaran deposit kepada suspek sehingga kerugian keseluruhan mencecah RM1.93 juta,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Idris berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

“Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berhubung suspek diminta menyalurkannya kepada pegawai penyiasat kes Inspektor Tilmanshah Wasli di talian 0165785962 atau 088-529761 bagi membantu siasatan polis,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *