Seorang Daripada Dua Remaja Hilang Ditemukan Lemas

Mayat mangsa ditemui ditebing sungai di Kampung Pagansakan Inobong, pada jam 2.45 petang tadi. – Foto IPD Penampang

PENAMPANG: Seorang daripada dua mangsa yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras di sungai Kampung Pogunon sejak semalam ditemukan lemas di Sungai Moyog berdekatan Kampung Pagansakan Inobong, di sini, hari ini.

Mayat remaja dipercayai Harold Walter, 17, itu ditemui pada 2.45 petang oleh penduduk kampung yang kebetulan turun ke sungai untuk memeriksa pukat miliknya.

Difahamkan, mangsa ditemui di tebing sungai dalam keadaan ditimbuni pasir dan di bawah pokok bambu yang tumbang sebelum dimaklumkan kepada pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim ketika ditemui di lokasi mengesahkan penemuan mayat berkenaan.

“Proses pengecaman sudah dilakukan oleh ahli keluarga mangsa dan mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam tragedi kira-kira 3 petang semalam, kedua-dua mangsa dikatakan bersama empat lagi rakan cuba menyeberangi sungai berkenaan.

Bagaimanapun, empat rakan mereka berjaya menyeberangi sungai berkenaan, namun muncul kepala air yang menghanyutkan kedua-dua mangsa. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *