Pemandu Ada Masalah Kesihatan Maut Kemalangan

Pasukan bomba semasa menjalankan pemeriksaan awal terhadap mangsa selepas kemalangan di Jalan Kolam Luyang di sini.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang dipercayai mempunyai masalah kesihatan maut dalam kemalangan yang membabitkan dua kenderaan di Jalan Kolam berhampiran Dewan Foo Chow, Bundusan awal pagi kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Arsad, 57, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Hospital Queen Elizabeth.

Difahamkan mangsa tiba-tiba diserang masalah kesihatan sebelum kenderaan Toyota Vigo yang dipandu mangsa terbabas lalu termasuk ke laluan bertentangan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lintas, Augustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.16 pagi dan sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Apabila tiba di lokasi terdapat dua kenderaan iaitu Toyota Vigo dan Honda Jazz bertembung membabitkan dua mangsa.

Salah seorang mangsa iaitu lelaki yang memandu Toyota Vigo maut manakala, seorang wanita berusia 32 tahun yang memandu Honda Jazz tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pasukan bomba membuat pemeriksaan awal bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain dan operasi tamat pada jam 8.37 pagi.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan lanjut. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *