17 Kampung Terjejas, 32 Mangsa Banjir Dipindahkan Di Sipitang

Foto Kredit: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah

SIPITANG : Sebanyak 17 kampung terjejas dan 35 orang daripada 11 keluarga dipindahkan setakat tengah hari ini dalam kejadian banjir di Sipitang.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan hari ini memberitahu kampung terlibat termasuk Kampung Menengah Ulu Sipitang, Kampung Skim Sindumin, Kampung Pantai, Kampung Tanjung Nipis, Kampung Kawang, Kampung Banting, Kampung Bangsal.

Kampung Jalan Masjid SIndumin, Kampung Kawang Baru, Kampung Luagan, Kampung Luagan Pantai, Kampung Masjid Pantai, Kampung Pantai Lama, Kampung Skim Baru Sindumin, Kampung Siputul,  Kampung Mendulong, dan Kampung Kaban.

Menurut kenyataan itu, 35 mangsa dipindahkan bermula tengah malam tadi ke Pusat Pemindahan Sementara Dewan Mini Mesapol yang dibuka sejak lewat petang semalam.

“Hujan lebat berterusan sejak Jumaat lepas menyebabkan paras air Sungai Mengalong dan Sungai Lukutan naik dengan mendadak, limpahan air berlebihan menyebabkan kampung berdekatan dinaiki air…pemantauan pada masa ini kampung terlibat masih digenangi air,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, sebanyak enam jalan terjejas yang hanya boleh dilalui kenderaan berat atau pacuan empat roda iaitu Jalan Kampung Menengah, Jalan Kampung Tanjung Nipis, Jalan Kampung Bangsa, Jalan Luagan Sindumin, Jalan Skim Sindumin dan Jalan Masjid Kampung Pantai.

Cuaca di Sipitang pada masa ini cerah, namun hujan di beberapa kawasan di Sabah antaranya sekitar pantai timur di Sandakan dan Tawau.

Sipitang adalah sebuah daerah di pedalaman negeri ini, sekitar 144 kilometer ke arah selatan dari Kota Kinabalu dan sebuah daerah Sabah yang bersempadan dengan Sarawak. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *