Lebih Baik Bantu Rakyat Daripada Belanja Untuk Papan Tanda, Kata Shafie

KOTA KINABALU : Jutaan ringgit yang dibelanjakan untuk papan tanda “Sabah Maju Jaya” adalah lebih baik digunakan untuk menaik taraf kemudahan asas di negeri itu yang masih jauh ketinggalan, kata Presiden Warisan, Shafie Apdal.

Katanya, slogan “Sabah Maju Jaya” menjadi bahan lawak jenaka serta ejekan akibat kemerosotan taraf hidup seharian penduduk negeri itu.

“Kerajaan negeri harus mendengar permasalahan disuarakan rakyat dan melakukan usaha yang serius untuk membantu mereka.

“Menyembunyikan masalah itu bukan caranya. Penderitaan rakyat adalah nyata dan mereka memerlukan bantuan,” katanya dalam kenyataan.

“Sabah Maju Jaya” adalah moto rasmi Sabah yang mana ia turut memuatkan jata negeri. Bulan lalu, kerajaan negeri menggunapakai moto itu untuk Rancangan Pembangunan Sabah bagi 2021-2025.

Shafie berkata, wang yang dibelanjakan untuk papan tanda itu boleh digunakan untuk membaikpulih Jalan Telupid yang amat berbahaya serta berlubang hingga boleh membahayakan nyawa.

“Ia juga boleh digunakan untuk mengatasi masalah bekalan air walaupun di kawasan bandar seperti Kota Kinabalu dan Sandakan.

“Wang itu juga boleh dibelanjakan untuk mengatasi masalah bekalan elektrik yang kerap terputus di negeri ini, seperti kejadian berlaku Hospital Queen Elizabeth baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, tiada tanda-tanda kemajuan dicapai di negeri itu sebaliknya Sabah dilihat semakin mundur.

Katanya, kenaikan harga barang amat menggusarkan kerana rakyat sudahpun dibebani kelembapan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Harga untuk 500g minyak masalah kini melebihi RM5 dan hampir RM30 untuk 3kg. Bagaimanapun, produk minyak masak keluaran Sabah, “Bess” yang dilancarkan kerajaan Warisan sebelum ini, kini dijual RM29.70 untuk 5kg.

“Sabah mempunyai bekalan minyak kelapa sawit yang lebih daripada mencukupi untuk mengeluarkan produk minyak masak kita sendiri,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *