
KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun, berkata kerajaan akan membuat penyesuaian terhadap kelonggaran SOP yang diumumkan Putrajaya, jika perlu.
Katanya, penyesuaian berkenaan mengambil kira keperluan serta keadaan tempatan, selain bagi mengekalkan momentum pemulihan dan membolehkan negeri itu beralih ke fasa peralihan endemik dengan lebih cepat.
“Seperti mana diumumkan menteri kesihatan semalam, beberapa peraturan dan SOP akan dilonggarkan atau ditarik balik mulai 1 Mei.
“Kerajaan Sabah menyambut baik pengumuman ini, khususnya kelonggaran yang akan memudahkan kemasukan pelancong asing serta langkah yang akan mempercepatkan pemulihan ekonomi.
“Bagaimanapun, sekiranya perlu, kerajaan negeri akan membuat penyesuaian kepada SOP berkenaan dengan mengambil kira keperluan dan keadaan tempatan,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, Masidi berkata, jumlah jangkitan baharu Covid-19 di Sabah bertambah 10 kes hari ini, dengan 46 kes direkodkan.
Katanya, keadaan di semua daerah kekal stabil dan terkawal, dengan pergerakan turun naik jangkitan baharu pada skala kecil.
“Buat pertama kalinya sejak beberapa bulan, tiada daerah yang mencatatkan jangkitan baharu dua angka.
“Seramai 45 daripada 46 pesakit baharu dalam Kategori 1 dan 2, satu kes dalam Kategori 3, manakala tiada kes direkodkan dalam Kategori 4 dan 5 hari ini.” – FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost