Pan Borneo Zon Timur Selesaikan Isu Kerosakan Laluan Kinabatangan-Telupid

SANDAKAN, 22 April : Pelaksanaan empat pakej Lebuh Raya Pan Borneo Zon Timur bagi laluan Kinabatangan-Telupid bakal menyelesaikan isu kerosakan jalan raya sedia ada yang menimbulkan rungutan pengguna selama ini termasuk yang ditularkan di media sosial.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata projek itu akan menyelesaikan kerosakan yang kerap berlaku di jalan raya utama, terutama dari Batu 32 Sandakan menghala ke simpang Sapi Nangoh dan seterusnya ke Telupid.

Beliau berkata jalan raya sedia ada ketika ini telah dibina sejak berpuluh tahun tidak dapat menampung kenderaan berat seperti lori membawa muatan buah sawit yang saban hari melalui jalan itu, menyebabkan jalan raya mudah rosak.

“Sementara projek (Pan Borneo) dilaksanakan, dijangka siap dalam dua tahun, Kementerian Kerja Raya (KKR) Sabah akan terus meminta konsesi terlibat dalam kerja pembaikan jalan raya di bawah kendalian mereka untuk membaiki mana-mana kerosakan serius yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna.

“Kerajaan tidak bercadang untuk membina semula jalan raya di laluan yang sama kerana ia melibatkan pembaziran dari segi kos perbelanjaan, sebahagian laluan untuk Projek Lebuh Raya Pan Borneo Zon Timur akan melalui kawasan yang terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bung Moktar, yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata pihak konsesi yang dilantik oleh kerajaan bertanggungjawab untuk memantau dan memperbaiki jalan-jalan terlibat mengikut dalam perjanjian.

Dalam pada itu, beliau kesal dengan sikap netizen yang tidak bertanggungjawab kerana terlalu cepat menularkan isu keroskan jalan raya di media sosial tanpa membuat sebarang penelitian sehingga pemimpin, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kerajaan menjadi sasaran.

“Perlu diingat tidak semua jalan raya yang ada di Sabah di bawah kendalian JKR. Ada jalan pertanian, jalan pihak berkuasa tempatan, jalan ladang yang bukannya menjadi tanggunjawab JKR, jika jalan tersebut menjadi tanggungjawab JKR, tindakan serta-merta akan diambil untuk memperbaikinya,” katanya.

Bung Moktar, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lamag, meminta Pejabat Daerah melalui Majlis Tindakan Daerah di negeri ini agar dapat menyerahkan senarai status jalan terkini yang memerlukan perhatian baik pulih atau penyelenggaraan kepada kementeriannya untuk tindakan sewajarnya.

Jelasnya, langkah itu bagi membolehkan kementeriannya memohon dana dan perhatian daripada pihak yang bertanggungjawab terhadap jalan tersebut sekali gus menyegerakan proses baik pulih atau proses penyelenggaraan khususnya jalan-jalan yang rosak. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *