Pemberian Khas RM125 Juta Kepada Sabah ‘Masih Terlalu Kecil’, Kata Kitingan

Presiden STAR, Jeffrey Kitingan berkata, terlalu banyak parti tempatan di Sabah ketika ini walaupun Peter Anthony menyatakan parti baharunya mesra kerajaan Gabungan Rakyat Sabah.

KOTA KINABALU: Sabah berhak mendapat lebih daripada pemberian khas RM125.6 juta yang dibayar kerajaan persekutuan, kata Timbalan Pengerusi Protem Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Jeffrey Kitingan.

Walaupun bersetuju dengan jumlah baharu yang disifatkan peningkatan signifikan berbanding peruntukan terdahulu sebanyak RM26.7 juta, Kitingan bagaimanapun berkata, jumlah yang diterima Sabah itu masih terlalu kecil.

Katanya, jumlah pemberian baharu itu tidak sepatutnya dianggap gantian kepada pemberian khas kepada Sabah mengikut Perlembagaan, yang sepatutnya berjumlah 40% daripada hasil dikutip kerajaan persekutuan di Sabah.

“Ini hak kami di bawah Perlembagaan Persekutuan,” kata timbalan ketua menteri itu dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemberian khas terbaharu itu, empat kali ganda lebih tinggi daripada bayaran RM26.7 juta, “tidak patut menjejaskan usaha kita menuntut hak yang termaktub dalam Perlembagaan”.

Semalam, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Putrajaya akan meningkatkan pemberian tahunan untuk Sabah kepada RM125.6 juta tahun ini.

Beliau berkata, jumlah itu akan meningkat setiap tahun, mulai 2023 hingga 2026, mengikut kadar yang dipersetujui Putrajaya dan kerajaan Sabah.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri mencapai konsensus berhubung semakan pemberian khas kepada Sabah.

Kitingan berkata, pemberian khas sebanyak RM26.7 juta itu tidak berubah selama 49 tahun, susulan kegagalan melakukan semakan seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan.

Jika semakan dilakukan setiap lima tahun, katanya, Sabah boleh mendapat hampir RM900 juta sekarang, jika kenaikan tahunan sebanyak 7.5% yang diterima pakai dalam semakan pertama dilaksanakan.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor yang juga pengerusi protem GRS, berkata kerajaan negeri tidak akan menghentikan usahanya untuk mendapatkan semula 40% hasil Sabah yang dikutip Putrajaya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *