Adik Jayden Ditemukan Selamat

Foto Facebook

KOTA KINABALU: Niat sepasang suami isteri membantu dalam misi pencarian Jayden Gabriel Peter, 5, yang hilang sejak semalam, membuahkan hasil apabila kanak-kanak berkenaan ditemukan di Bukit Janggut, Sepanggar, di sini, hari ini.

Misi pencarian yang dilakukan secara sukarela tercetus selepas mereka terbaca berita mengenai kehilangan kanak-kanak autisme berkenaan, awal pagi tadi.

Sharil Md Syukur, 33, berkata, isteri, Marsha Marcella mempelawanya untuk membantu mencari kanak-kanak terbabit bersama beberapa lagi rakan.

Katanya, tanpa berfikir panjang, dia bersetuju walaupun tidak mengetahui keadaan sebenar di lokasi pencarian termasuk tiada persiapan secukupnya.

“Saya masih lagi dalam keadaan belum bersedia tetapi hanya bersetuju dengan cadangan isteri untuk membantu mencari adik Jayden.

“Saya hanya sempat mencari parang apabila mengetahui lokasi sebenar pencarian adalah kawasan hutan dan semak-samun,” katanya ketika ditemui selepas berjaya menemui kanak-kanak terbabit.

Menceritakan semula pengalaman menemui mangsa, Sharil berkata, selepas hampir sejam menyusuri kawasan hutan berkenaan, dia yang kepenatan berehat di bawah sebatang pokok di puncak bukit.

Katanya, dia yang mendahului isteri dan rakan-rakan lain, langsung tidak menyedari kanak-kanak terbabit sebenarnya hanya berada kira-kira 20 meter daripada tempat dia berehat.

“Sebaik isteri dan rakan-rakan sampai berhampiran, mereka menjerit memberitahu saya kelibat kanak-kanak terbabit.

“Saya terkejut dan langsung tidak menyangka kedudukannya yang sangat dekat. Saya terus menuju ke arah Jayden untuk mengambilnya,” katanya.

Sharil berkata, mereka sangat bersyukur kerana dapat membantu mencari kanak-kanak terbabit yang hilang sejak semalam.

Katanya, rasa kasih sayang terhadap anak-anak dan dasar keibubapaan sememangnya menjadi azimat kepada mereka untuk membantu mencari Jayden.

Kanak-kanak berkenaan ditemukan pada jam 1.10 tengah hari tadi selepas usaha pencarian membabitkan pelbagai pihak termasuk anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), polis dan penduduk kampung sejak awal pagi tadi. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *