Sabah Catat 65 Kes Covid-19, Terendah Sejak 10 Bulan

Seramai 59 orang daripada 65 pesakit baharu Covid-19 di Sabah hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2 selain masing-masing dua pesakit dalam Kategori 3, 4 dan 5. – Gambar Hiasan

KOTA KINABALU : Sabah mencatatkan kes harian Covid-19 terendah sejak 10 bulan lalu dengan hanya 65 jangkitan baharu dicatatkan hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, kali terakhir negeri itu mencatat kes harian dua angka ialah pada 18 Mei tahun lalu, iaitu sebanyak 95 kes.

“Terdapat dua faktor yang menyumbang kepada jumlah jangkitan harian rendah di Sabah hari ini, iaitu penurunan kes baharu dalam jumlah agak besar di beberapa daerah serta kenaikan kecil atau marginal di daerah merekodkan pertambahan kes baharu.

“Antara daerah merekodkan penurunan kes baharu agak besar ialah Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Beaufort dan Tuaran.

“Sebaliknya walaupun sembilan daerah mencatatkan pertambahan kes baharu tetapi enam daripadanya hanya merekodkan pertambahan satu kes berbanding sebelumnya,” katanya ketika dihubungi.

Masidi yang juga jurucakap negeri berkaitan Covid-19 berkata, Kota Kinabalu menjadi satu-satunya daerah yang mencatatkan kes baharu dua angka hari ini.

Katanya, sebanyak 16 daerah mencatatkan kes satu angka sahaja dengan 13 daripadanya mencatatkan satu hingga empat kes hari ini.

“Tiada kes jangkitan baharu di 10 daerah, namun sebagai satu peringatan, walaupun kes harian di Sabah menurun dengan banyak tetapi peratusan jangkitan sporadik kekal tinggi pada 55.4%,” katanya.

Beliau berkata, seramai 59 orang daripada 65 pesakit baharu hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2 selain masing-masing dua pesakit dalam Kategori 3, 4 dan 5. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *