Banjir: Tuaran Mula Pulih, Jalan Di Kota Belud Ditutup

Keadaan banjir yang semakin surut di Tuaran. 

TUARAN : Beberapa kawasan terjejas banjir di sini mulai pulih apabila paras air semakin berkurangan namun sebuah rumah mengalami kerosakan apabila tanah di kawasan itu mendap petang ini manakala beberapa jalan di Kota Belud ditutup untuk semua kenderaan.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan 10 mangsa yang terlibat di kawasan tanah mendap itu telah berpindah ke rumah ahli keluarga lain.

“Mangsa bagi kejadian tanah mendap berpindah ke rumah saudara terdekat di Kampung Nuga Lapasan Tengilan, Tamparuli,” menurut kenyataan itu.

Setakat ini, tiada pusat pemindahan sementara dibuka dan APM turut memantau keadaan tebing sungai di hujung jambatan Wokok, Kampung Kauluan kerana berlaku hakisan.

Tuaran dan Kota Belud merupakan dua daerah di pantai barat Sabah yang masing-masing terletak lebih 32 kilometer dan lebih 69 kilometer dari Kota Kinabalu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Belud dalam kenyataannya pula memaklumkan sebanyak 15 kampung turut terjejas akibat banjir manakala beberapa laluan terputus hubungan.

Kawasan yang terlibat ialah Kampung Siasai Tamu, Kampung Kota Belud, Kampung Bobot, Kampung Ejuk, Kampung Menunggui, Kampung Lebak Engad, Kampung Linau, Kampung Sembirai, Kampung Taun Gusi Keranjangan, Kampung Gunding, Kampung Marajah, Kampung Song-Song, Kampung Sadok-Sadok, Kampung Lingkodon dan Kampung Suang Punggur.

Laluan yang terputus hubungan pula termasuk Jalan Bypass Kota Belud-Kudat (Sembirai), Jalan Kampung Bobot, Jalan Kampung Siasai Tamu, Jalan Kampung Menunggui, Jalan Kampung Lebak Engad dan Jalan Kampung Linau.

Jabatan Kerja Raya Sabah dalam kenyataan memaklumkan pengguna jalan raya Kota Kinabalu-Kudat dinasihat menggunakan jalan alternatif kerana laluan di M75.20 Linau dan Kota Belud Bypass (Sembirai) ditutup sementara bermula 6 pagi tadi.

Jalan alternatif itu ialah Jalan Kota Kinabalu Kudat-Jalan Sangkir 1-Jalan Sangkir 2, Jalan Kota Kinabalu-Kudat-Jalan Botong Rosok-Jalan Sorob-Jalan Tambulion Piasau-Jalan Kota Belud-Ranau-Pekan Kota Belud.

“Mohon patuhi arahan dan papan tanda keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *