5 Premis Dikompaun Menerusi Op Pantau Di Sabah

Gambar KPDNHEP

KOTA KINABALU : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah mengeluarkan kompaun bernilai RM2,200 kepada lima premis perniagaan menerusi Op Pantau bermula Ahad lepas hingga semalam.

Pengarahnya Georgie Abas berkata tindakan kompaun itu hasil pemeriksaan terhadap 614 premis perniagaan di seluruh negeri.

Beliau berkata selain premis tradisi seperti pasar basah, pasar tani, pasar malam, pasar raya dan kedai runcit, Op Pantau turut dijalankan di bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri.

“Op Pantau 2022 bertujuan memastikan pengguna mudah mendapatkan bekalan makanan dan keperluan harian pada harga munasabah selain memastikan tiada unsur pencatutan dilakukan peniaga dalam penetapan harga barangan dan perkhidmatan termasuk di kedai makan menjual juadah berbuka puasa.

“KPDNHEP Sabah tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan siasatan dan semakan harga jika menerima banyak aduan terhadap sesebuah premis atau gerai dan tindakan sewajarnya akan diambil mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Georgie berkata KPDNHEP Sabah juga akan mempertingkatkan keberadaan (omnipresence) hampir 200 anggota penguat kuasa di lokasi tumpuan pengguna bagi mewujudkan persekitaran perniagaan dan beli-belah selamat dan beretika.

Beliau turut mengingatkan semua peniaga supaya terus mematuhi segala perundangan ditetapkan kerajaan terutama sepanjang bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri bagi mengelak dikenakan tindakan tegas oleh pihak penguat kuasa.

​Pengguna juga dinasihatkan merancang perbelanjaan dan dalam masa sama melaporkan sebarang maklumat salah laku peniaga kepada KPNDHEP antara lain menerusi aplikasi WhatsApp di talian 019-279 4317 atau 019-848 8000, katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *