Jangkitan Sporadik Covid-19 Di Sabah Menurun, Kata Masidi

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Peratusan jangkitan sporadik Covid-19 di Sabah menurun di bawah paras 50% iaitu 43.7%,’ kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun.

Katanya, peratusan lebih rendah bermakna risiko jangkitan juga akan berkurangan dan jumlah jangkitan baharu akan menurun.

“Tahap pematuhan yang tinggi ke atas semua SOP (prosedur operasi standard) merupakan faktor utama kepada jumlah jangkitan harian yang lebih rendah.

“Kunci kejayaan kita menjadikan Sabah antara negeri yang mencatatkan kes harian terendah sejak kebelakangan ini ialah tahap pematuhan SOP yang tinggi dikalangan rakyat negeri ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Masidi yang juga jurucakap negeri berkaitan Covid-19 berkata, jumlah kes harian di Sabah kembali berada di bawah paras angka 200 hari ini dengan 167 kes dicatatkan.

Katanya, secara keseluruhan, terdapat tanda-tanda penstabilan di kebanyakan daerah dengan perubahan kes harian pada kadar yang lebih rendah dan terkawal.

“Kecuali beberapa daerah “volatile” seperti Kota Kinabalu, Penampang dan Tuaran yang sukar diramal, turun naik kes harian di banyak daerah lain kini agak mudah diramal kerana sudah berada di tahap yang dianggap stabil.

“Adalah diperhatikan bahawa daerah-daerah yang berada jauh daripada pusat bandar besar dengan jumlah penduduk yang kecil merupakan daerah yang secara konsisten mencatatkan jumlah kes harian jauh lebih rendah setiap hari, malah kadang-kadang tanpa mencatat sebarang kes baharu,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 158 daripada jumlah kes baharu, hari ini, adalah dalam Kategori 1 dan 2, satu kes berada dalam Kategori 3, dan empat kes masing-masing dalam Kategori 4 dan 5.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *