Sabah Tetapkan RM60 Kos Ujian RTK Untuk Ketibaan Antarabangsa

KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri Sabah memutuskan bahawa kos melakukan ujian COVID-19 menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK) tidak boleh melebihi RM60 bagi ketibaan penerbangan antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata kerajaan negeri bersetuju bahawa harga semasa sebanyak RM160 adalah terlalu tinggi dan harga RM60 yang ditetapkan kerajaan Sabah adalah paling sesuai sekali gus akan melegakan pengunjung terutamanya dari luar negara.

Beliau berkata di peringkat Persekutuan, kosnya adalah RM100 untuk rakyat Malaysia dan RM160 untuk bukan warganegara Malaysia melakukan ujian RTK yang tiba melalui penerbangan antarabangsa.

“Bagaimanapun, kami di Sabah memutuskan bahawa ia tidak boleh melebihi RM60 untuk semua ketibaan antarabangsa…selepas lebih dua tahun, kini kami bersemangat untuk mengalu-alukan kedatangan pelancong ke sini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hajiji berkata kerajaan negeri menerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) sedang giat meneruskan penyambungan semula lebih 200 penerbangan antarabangsa secara terus ke Sabah, setelah negara membuka sempadan antarabangsanya bermula esok.

Beliau berkata susulan pembukaan semula sempadan, penggiat sektor pelancongan perlu memanfaatkan lokasi strategik Sabah untuk menarik lebih banyak syarikat penerbangan ke negeri itu.

Hajiji turut gembira apabila mengetahui STB sedang bekerjasama dengan syarikat penerbangan untuk membantu mereka mewujudkan semula penerbangan terus bagi perjalanan domestik dan antarabangsa.

“Sebelum pandemik, KKIA menguruskan 236 penerbangan antarabangsa secara terus dari 22 bandar, saya menggesa pemain industri dan pihak berkepentingan agar bekerjasama bagi memastikan pelancongan Sabah bangkit berjaya seperti dahulu dan kekal sebagai satu daripada destinasi pelancongan kegemaran Malaysia,” katanya.

Beliau berkata STB turut bekerjasama dengan pemain industri pelancongan untuk mengadakan libat urus secara maya, ekspo pelancongan, promosi dan latihan mengenai kemas kini destinasi seperti mewujudkan semula perdagangan dan keyakinan pelancong dengan banyak negara. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *