Kadar Zakat Fitrah Di Sabah RM7 – Mufti

KOTA KINABALU, 31 Mac : Kadar zakat fitrah di Sabah pada tahun ini ditetapkan sebanyak RM7 ke atas setiap orang Islam yang bermastautin di negeri itu, kekal seperti tahun lepas.

Mufti Sabah Datuk Bungsu Aziz Jaafar berkata kadar itu ditetapkan, bersamaan nilai segantang Baghdad atau 2.7 kilogram beras, dimakan oleh majoriti penduduk di Sabah.

Beliau berkata Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) telah melantik seramai 39 penyelaras wakil amil dan 2,000 wakil amil di seluruh negeri pada tahun ini, untuk membuat kutipan zakat sepanjang Ramadan nanti.

“Kesemua mereka akan dibekalkan dengan kad kuasa, bagi mengelak masyarakat Islam mengeluarkan (membayar zakat) fitrah kepada individu tidak bertanggungjawab dan tidak mempunyai tauliah,” katanya ketika mengumumkan kadar zakat fitrah Sabah bagi tahun 2022 di sini, hari ini.

Bungsu berkata sepanjang Ramadan tahun ini, MUIS telah memperuntukkan RM15 juta untuk diagih-agihkan kepada 46,474 golongan asnaf mengikut kategori, sebagai persediaan menyambut Syawal nanti.

Sementara itu, Bungsu berkata, jumlah keseluruhan zakat dikutip pada tahun lepas ialah sebanyak RM122.4 juta, dan daripada jumlah itu, zakat harta merekodkan jumlah tertinggi iaitu RM111.7 juta, manakala zakat fitrah pula menyumbang RM10.7 juta.

MUIS telah mengagihkan zakat dan fitrah sebanyak RM93.2 juta kepada 82,541 golongan asnaf pada tahun lepas, katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *