Kerajaan GRS Akan Terus Perjuang Hak Sabah, Rakyat – Hendrus

Hendrus Anding

KOTA MARUDU: Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Tandek,  Hendrus Anding menyeru rakyat agar terus yakin kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diterajui oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor yang akan terus memperjuangkan hak-hak negeri dan rakyat.

Hendrus membuat seruan itu semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBS di sini, Khamis. 

Beliau mengucapkan syabas kepada Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Sabah Sarawak (HESS), kerana tidak putus-putus memperjuangkan hak rakyat Sabah, seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di peringkat Kerajaan Persekutuan. 

Hendrus yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan juga menyentuh mengenai isu guna tanah di Sabah oleh syarikat-syarikat dari Semenanjung yang perlu dikaji semula mengenai tempoh perjanjian. 

“Keutamaan perlu diberikan kepada orang Sabah sendiri bagi menjawat jawatan seperti Pengarah Urusan (MD), Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan lain-lain jawatan tertinggi dalam pentadbiran,” katanya.  

“Pemberian geran peruntukan untuk penyukatan tanah-tanah adat dan persendirian di Sabah perlu terus dilaksanakan supaya lebih banyak tanah di negeri ini dapat disukat dan geran tanah dikeluarkan kepada pemilik tanah,” tanahnya.

Hendrus turut mengajak ahli-ahli PBS untuk melibatkan diri dalam sektor 3P iaitu Pertanian, Penternakan dan Perikanan, kerana kerajaan dalam usaha memperkasakan tiga sektor ini. 

Katanya, sektor 3P boleh memberikan pendapatan lumayan kepada rakyat dan kerana itu, peluang yang ada perlu dimanfaatkan sepenuhnya demi kebaikan bersama. – Harian Ekspress

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *