Isu Tuntutan Sulu: Shafie Diasak ADUN Kerajaan

Shafie Apdal berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk berunding dengan negara lain atau mana-mana mahkamah antarabangsa membabitkan hal antarabangsa.

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang, Shafie Apdal diasak oleh beberapa wakil rakyat kerajaan supaya mendedahkan tindakan kerajaan Warisan pimpinannya sebelum ini berkaitan isu tuntutan pihak yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu di Madrid, Sepanyol.

Bagaimanapun, Shafie yang juga presiden Warisan enggan mengulas lanjut perkara itu, sebaliknya menegaskan bidang kuasa membabitkan hal antarabangsa terletak di tangan kerajaan persekutuan.

Bekas ketua menteri Sabah itu juga enggan melayan sebarang pertanyaan lanjut berhubung perkara itu semasa membahaskan ucapan dasar kerajaan negeri oleh Yang di-Pertua Negeri pada sidang DUN Sabah, hari ini.

“Saya sudah mengatakan mana ada kerajaan negeri mempunyai kuasa berunding dengan negara lain atau mana-mana mahkamah antarabangsa, ia adalah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

“Hari ini Filipina berbahas mengenai perkara ini, tapi ia bukan bermaksud kita mengiktirafnya, tidak…maksud saya kerajaan perlu melihat ancaman dari negara luar,” katanya.

Terdahulu, ADUN Dilantik, Yong Teck Lee mencelah perbahasan Shafie untuk meminta penjelasan berhubung laporan bahawa kerajaan negeri pada 2018 menghantar wakilnya dalam isu tuntutan waris Sultan Sulu di mahkamah timbang tara di Madrid, Sepanyol.

Yong yang juga bekas ketua menteri berkata, beliau pernah meminta penjelasan sama ketika kerajaan Warisan memerintah, namun pertanyaannya tidak dijawab.

Seorang lagi ADUN kerajaan, Annuar Ayub meminta penjelasan sama, namun Shafie tetap dengan pendiriannya tidak menjawab persoalan diajukan kepadanya.

“Banyak lagi saya mahu katakan dalam perbahasan saya,” katanya.

Terdahulu, Shafie dalam ucapan perbahasannya antara lain membangkitkan keadaan jalan raya rosak di seluruh Sabah, khususnya laluan menghubungkan kawasan pantai timur negeri itu seperti Jalan Kalabakan – Nabawan.

Selain itu, Shafie turut menyentuh tuntutan hasil 40% Sabah dan perkara lain berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *