KOTA KINABALU, 16 Mac : Rakyat Sabah berterima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 bagi meringankan beban Keluarga Malaysia di negeri itu yang masih terkesan dengan impak pandemik COVID-19.
Rata-rata yang ditemui bagaimanapun memohon supaya syarat pengeluaran yang bakal ditetapkan munasabah dan tidak menyukarkan mereka.
Penghantar makanan GrabFood Ahmad Juhas Jamil Mas, 27, berkata jika syarat tempoh pembayaran pengeluaran terlalu panjang seperti 10 bulan untuk pengeluaran RM10,000 tidak akan banyak membantu rakyat menyelesaikan masalah dihadapi mereka pada masa ini.
“Sebelum ini saya hilang kerja sebagai mekanik (enam bulan lepas) jadi bila boleh keluar satu jumlah yang besar macam ‘one-off’ RM10,000 banyak bantu seperti nak beli barang keperluan sekolah anak, atau nak bayar sewa rumah, ansuran kenderaan dan bil yang tertunggak.
“Kalau bayar 10 bulan, sebulan RM1,000 susah juga nak bantu hidup terutama orang hilang kerja macam saya yang sudah tentu ada bayaran bulanan tertunggak, jadi saya mohon kerajaan dan KWSP lihat daripada sudut ini,” katanya kepada Bernama hari ini.
Bagi peniaga air minuman dan makanan ringan di Jalan Sulaman, Tuaran, Hamja Abok, 56, beliau mahu membuat pengeluaran itu bagi memajukan perniagaan tepi jalannya yang dimulakan lebih setahun lepas setelah kehilangan kerja sebagai pengawal keselamatan.
“Sudah tentunya dapat membantu, saya mahu jual banyak lagi barang tetapi saya juga mahu buat simpanan kerana masa ekonomi kurang stabil ini, kita tidak tahu apa yang akan terjadi, jadi kalau boleh ada syarat keluarkan satu jumlah banyak untuk simpan ke Amanah Saham Bumiputera bagus juga,” katanya.
Aktivis sosial dan pengguna Sabah Datuk Patrick Sindu berkata langkah kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP itu adalah baik, namun rakyat Sabah terutama yang tinggal di pedalaman perlu bimbingan tentang keperluan menabung dan hanya membuat pengeluaran KWSP yang diperlukan sahaja.
“Kita tidak mahu mereka keluarkan RM10,000 kemudian gunakan untuk perkara yang tidak sepatutnya seperti beli motosikal canggih, pengeluaran ini perlu digunakan untuk kesinambungan hidup, beli motosikal kemudian cari pendapatan dengan berniaga guna motosikal, itu tidak mengapa,” katanya.
Justeru katanya, kerajaan perlu mengenakan syarat pengeluaran menang-menang yang mampu membantu rakyat pada masa ini dan juga hari tua namun pada masa sama sedia membantu dana KWSP dengan membenarkan agensi itu membuat potongan lebih tinggi selepas ini. – BERNAMA
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost