Zahid Hamidi Tuntut Dr M Mohon Maaf Kerana Berbohong

Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan peguamnya untuk menghantar surat tuntutan kepada Dr Mahathir Mohamad susulan dakwaan beliau ada meminta bantuan bekas Perdana Menteri itu supaya hentikan siasatan rasuah terhadap dirinya.

KUALA LUMPUR:  Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan peguamnya untuk mengeluarkan surat tuntutan kepada Pengerusi Pejuang, Dr Mahathir Mohamad.

Tindakan itu dilakukan susulan dakwaan dibuat Mahathir ke atasnya yang mendakwa beliau ada meminta bantuan bekas Perdana Menteri itu bagi menghentikan siasatan kes rasuah terhadap dirinya.

“Saya tidak pernah sekalipun meminta Tun M untuk berbuat demikian.

“Mana mungkin saya melobi untuk digugurkan tuduhan sebelum Tun M menjadi PM7, kerana ketika itu saya adalah TPM (Timbalan Perdana Menteri) dan tiada sebarang siasatan rasuah, jauh sekali dikenakan pertuduhan.

“Saya telah mengarahkan peguam saya untuk mengeluarkan ‘letter of demand’ (LOD) kepada Tun M untuk dia memohon maaf atas pembohongannya,” katanya di Facebook.

Zahid menjelaskan, pertemuannya bersama Mahathir ketika itu selepas dijemput bersama presiden-presiden parti politik lain untuk menyokongnya membentuk kerajaan perpaduan.

“Mana mungkin saya minta digugurkan tuduhan di hadapan ramai,” kata Zahid.

Terdahulu, Mahathir pagi tadi, mendakwa Zahid pernah bertemunya meminta supaya siasatan kes rasuah terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dihentikan.

Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa pertemuan itu berlaku ketika ada ura-ura bahawa beliau akan menjadi Perdana Menteri.

Beliau berkata, ketika itu Zahid mahu siasatan yang sedang dijalankan terhadapnya dihentikan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *