Peter Anthony Tubuh KDM, Mohon Gabung Dengan GRS

Peter Anthony ditemui media sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, petang tadi.

KOTA KINABALU: Bekas Naib Presiden Warisan, Peter Anthony, hari ini mengumumkan penubuhan parti baharunya secara rasmi iaitu parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Peter berkata, KDM diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) 18 Feb lalu dengan mesyuarat pertama akan diadakan 13 Mac ini.

“Mesyuarat pertama akan diadakan pada 13 Mac depan sekali gus melantik ahli jawatankuasa parti,” katanya ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, petang tadi.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Juil Nuatim yang dilantik sebagai Timbalan Presiden parti baharu itu.

Peter berkata, langkah pertama akan dibuat parti itu adalah membuat permohonan untuk bergabung dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang kini menerajui kerajaan negeri.

“Sebagai parti kerdil kita perlu bekerjasama dalam memajukan Sabah…sudah tiba masanya parti politik di Sabah bergabung agar kerajaan kita kuat seperti apa yang berlaku di Sarawak,” katanya.

Peter dan Juil mengumumkan keluar Warisan pada 27 Dis tahun lepas kerana percaya perjuangan Warisan tersasar daripada landasan awal. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *