Perjuangan Tuntut Semakan Kewangan & Geran Tahunan Sabah Berjaya, Kata Ongkili

Maximus Ongkili berkata, Sabah akan menerima peningkatan hampir lima kali ganda dalam geran tahunan, iaitu lebih dua kali ganda jumlah yang dijanjikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada kerajaan pimpinan Warisan sebelum ini.

KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak) Maximus Ongkili berkata, perjuangan lima dekad untuk menuntut semakan kewangan dan geran tahunan bagi Sabah akhirnya tercapai.

Katanya, perkara itu dicapai hasil perbincangan “ramah dan wajar” antara Sabah dan Kementerian Kewangan, baru-baru ini

“Tawaran lebih baik untuk Sabah dan Sarawak sedang dibincang dengan kerajaan menerusi Jawatankuasa Perundingan Bersama (JCC) mengenai Geran Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Kedua-dua Kementerian Kewangan dan negeri telah memberi taklimat kepada Kabinet masing-masing hari ini, mengenai hasil perundingan yang dicapai semasa mesyuarat JCC mengenai semakan kewangan dan geran tahunan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dan difahamkan kedua-dua pihak telah menyokong kesemua resolusi.

“Walaupun kadang-kala wujud perselisihan terhadap tuntutan undang-undang dan hak perlembagaan masing-masing, saya amat berbangga dengan kerajaan Sabah atas kesungguhan dan kerja keras dalam memperjuangkan hak negeri dan rakyat, walaupun menunggu selama lima dekad,” katanya Presiden PBS itu dalam kenyataan hari ini.

Ongkili yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu berkata, Sabah akan menerima peningkatan hampir lima kali ganda dalam geran tahunan, iaitu lebih dua kali ganda jumlah yang dijanjikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada kerajaan pimpinan Warisan.

“Ini membuktikan keupayaan dan kapasiti kerajaan negeri GRS (Gabungan Rakyat Sabah) untuk mempertahankan hak Sabah dan memelihara hubungan baik persekutuan dan negeri bagi memastikan kemakmuran bersama untuk rakyat Sabah,” katanya.

Beliau yang turut menghadiri mesyuarat pada Isnin di Kota Kinabalu itu turut mendedahkan formula geran baharu itu akan ditandatangani dan dirasmikan bersama oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri Hajiji Noor pada Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) akan datang, yang dijadualkan awal bulan depan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *