3 Lagi Kluster Baharu Covid-19 Babit Sekolah Di Sabah

Sebanyak 4,794 kes Covid-19 direkodkan di Sabah hari ini. – Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, tiga lagi kluster Covid-19 membabitkan sekolah diisytiharkan di Sabah hari ini.

Katanya, kluster itu ialah Batu Enam di Kota Belud dan masing-masing kluster Jalan Sugut dan kluster Kemburongoh 2 di Ranau.

Beliau berkata, kluster Batu Enam membabitkan pelajar asrama SMK Taun Gusi 2, Kota Belud di mana kes indeks seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun didapati positif pada 10 Feb.

“Kes telah dihantar ke pusat kuarantin serta diberikan rawatan sesuai dan saringan ke atas kontak rapat terdiri daripada rakan sebilik dan rakan sekelas mendapati lebih ramai yang terjangkit menjadikan jumlah kumulatif kes positif 19 kes setakat hari ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Masidi berkata, dua kluster di Ranau pula membabitkan SMK Ulu Sugut (kluster Jalan Sugut) dan SMK Kemburongoh (kluster Kemburungoh 2).

“Bagi kluster Jalan Sugut, kes indeks adalah seorang guru wanita berusia 39 tahun yang dikesan positif Covid-19 pada 7 Feb.

“Saringan terhadap kontak rapat kemudian mendapati lebih ramai yang positif dan jumlah keseluruhan yang terlibat setakat hari ini ialah 49 kes.

“Sementara itu bagi kluster Kemburungoh 2, indeks kes adalah seorang lelaki berusia 52 tahun dan merupakan pengawal keselamatan di sekolah terbabit yang dikesan positif pada 7 Feb. Secara keseluruhannya jumlah kumulatif yang positif ialah 54 kes, setakat hari ini.

“Semua kes diasing dan diberikan rawatan selanjutnya manakala kontak rapat tidak bergejala juga dikenakan perintah kuarantin,” katanya.

Masidi berkata, jumlah kluster di seluruh Sabah kini meningkat kepada 41 berikutan pertambahan tiga kluster baharu itu.

Katanya, satu kluster tamat hari ini iaitu kluster Jalan Kepayan di Tambunan, membabitkan SMK Tambunan, iaitu merupakan kluster institusi pendidikan pertama dikesan tahun ini.

Terdahulu, Masidi berkata, jumlah kes baharu di Sabah hari ini susut sedikit kepada 4,794 kes, iaitu penurunan sebanyak 288 berbanding semalam.

Bagaimanapun katanya, jumlah kes harian diramal terus berada pada tahap tinggi dalam masa terdekat susulan jumlah jangkitan sporadik dalam komuniti yang amat tinggi, iaitu 3,076 kes atau hampir 64.2% daripada jumlah kes hari ini.

“Sejumlah 99.56% atau 4,773 daripada jumlah kes baharu hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2, terdapat 11 dalam Kategori 3, sembilan kes dalam Kategori 4 dan satu kes Kategori 5,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *