Kerajaan Pertimbang Beri Kad Warga Asing Di Sabah

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin berkata, pertemuannya dengan pegawai di Sabah hari ini bersetuju bahawa ‘setiap orang yang tinggal di Sabah’ mesti mempunyai kad warga asing atau dokumen sah.

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan kerajaan Sabah untuk memberikan kad warga asing kepada pendatang di negeri itu.

Bercakap pada sidang media di Putrajaya, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin berkata, pertemuannya dengan pegawai Sabah hari ini bersetuju bahawa “setiap orang yang tinggal di Sabah” mesti mempunyai kad warga asing atau dokumen sah.

“Masalahnya di Sabah ialah sebahagian daripada warga asing tinggal di sana selama 30 tahun…dua atau tiga generasi.

“Jika kita mahu menghantar mereka pulang ke negara asal, mereka tidak akan ingat keluarga dan kampung asal mereka,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah.

Hamzah berkata, kad itu akan membolehkan warga asing bekerja di Malaysia secara sah dan anak mereka mendapatkan akses perkhidmatan sosial seperti pendidikan.

Beliau juga berkata cadangan daripada kerajaan Sabah itu telah dibincang dalam Jawatankuasa teknikal KDN.

“Kita rasa adalah sesuatu cadangan baik. Punca kuasa oleh Menteri Dalam Negeri dan kita boleh bagi kad warga asing ini sekurangnya dalam negara kita ada kad,” katanya.

Hamzah juga berkata akan mengumumkan dalam masa tiga bulan lagi mengenai berapa jumlah warga asing di Sabah yang akan mendapat kad itu.

Katanya, buat masa ini belum lagi dapat jumlah sebenarnya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *