KOTA KINABALU, 7 Feb : Kerajaan Sabah memerlukan sistem ramalan kaji cuaca yang canggih dengan kemampuan menyalurkan maklumat tepat dalam usaha mengurangkan kesan banjir terutama di kawasan sering terdedah dengan bencana itu.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata dengan ketepatan ramalan cuaca, maklumat diperoleh boleh disalurkan lebih awal kepada orang ramai sekali gus memberi ruang untuk bersiap-siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan banjir di kawasan masing-masing.
“Jika kita memiliki sistem ramalan kaji cuaca yang lebih canggih dan efisien, kita boleh bersedia lebih awal dan ini sudah tentu mampu mengurangkan impak banjir yang berlaku selain dapat menggerakkan bantuan lebih awal kepada mangsa.
“Kita akan mencadangkan perkara ini (keperluan sistem ramalan kaji cuaca yang canggih) kepada kerajaan Persekutuan untuk memohon peruntukan memandangkan Sabah juga berhadapan risiko banjir yang berlaku hampir setiap tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Bung Moktar, pengalaman beberapa negeri termasuk Sabah berhadapan bencana banjir secara tiba-tiba dan telah mengakibatkan kerugian besar perlu dijadikan pengajaran agar langkah proaktif segera diambil bagi memastikan perkara sama tidak berulang.
Menteri Kerja Raya Sabah itu juga berkata Pusat Kawalan Operasi Bencana di seluruh daerah di Sabah juga perlu dilengkapi dengan peralatan bantuan menyelamat mangsa banjir dan ia mestilah dalam kondisi yang baik bagi memastikan operasi menyelamat mangsa banjir berjalan lancar. – BERNAMA
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost