2 Pelajar Selamat, Kereta Hampir Terjunam Ke Laut Di Tanjung Lipat

Keadaan kereta dinaiki dua pelajar yang terbabas diJalan Tun Fuad Stephen, Tanjung Lipat di Kota Kinabalu, hari ini.

KOTA KINABALU: Dua pelajar berdepan detik cemas selepas kereta dinaiki terbabas ke tebing batu dan hampir terjunam ke dalam laut di Jalan Tun Fuad Stephen, Tanjung Lipat di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 1.30 tengah hari itu, pemandu lelaki dan penumpang perempuan masing-masing berusia 19 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu Deputi Superintendan Jo Ak Hang berkata, siasatan mendapati pemandu bersama seorang penumpang menaiki kereta jenis Toyota Camry dari pusat bandar raya menuju ke Likas.

Menurutnya, pemandu yang memandu di lorong kanan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan.

“Kereta dipandu lelaki terbabit termasuk ke parit di bahu kiri jalan sebelum terjatuh ke kawasan batu di tebing laut.

“Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan sebagai pesakit luar dan doktor memaklumkan kedua-dua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jo berkata, kejadian itu juga menyebabkan kereta dipandu lelaki terbabit mengalami kerosakan di bahagian hadapan dan bawah kenderaan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *