Kolej Swasta Cetus 1 Lagi Kluster Pendidikan Di Sabah

Sebanyak 364 daripada 367 kes baharu Covid-19 di Sabah hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2. – Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Satu lagi kluster baharu Covid-19 membabitkan institusi pendidikan, iaitu kluster Lorong Api-Api diisytiharkan di Sabah hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun berkata, kluster itu membabitkan Almacrest International College di Kota Kinabalu.

Katanya, kes indeks kluster itu adalah seorang pelajar berusia 18 tahun yang tinggal di asrama kolej berkenaan di Api-Api Centre.

“Kes indeks mula bergejala pada 18 Jan seterusnya mendapat rawatan pada 21 Jan dan didapati positif Covid-19.

“Secara kumulatif, daripada 40 ujian saringan yang dilakukan, seramai 34 pelajar didapati positif.

“Semua yang terlibat hanya dalam Kategori 1 dan 2 dan telah dihantar ke pusat kuarantin untuk tujuan pengasingan serta rawatan sewajarnya,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Masidi yang juga jurucakap negeri berkaitan Covid-19 berkata, angka jangkitan baharu di negeri ini tidak banyak berubah, iaitu sebanyak 367 kes, hanya menurun enam kes berbanding semalam.

Katanya, Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi dengan 84 kes atau hampir satu perempat daripada jumlah kes pada hari ini.

“Selain daripada kes yang berpunca daripada saringan bergejala dan saringan kontak, jumlah kes yang tinggi di Kota Kinabalu banyak dipengaruhi oleh kes-kes baharu yang berpunca daripada kluster baharu yang diisytihar hari ini.

“Sandakan juga merekodkan angka yang tinggi, iaitu 74 kes manakala di Tuaran dengan 50 kes.

“Secara keseluruhan 10 daerah mencatatkan kes 2 angka, 13 daerah mencatatkan kes satu angka dan empat daerah tidak merekodkan sebarang jangkitan baharu,” katanya.

Masidi berkata, sebanyak 364 daripada 367 kes baharu hari ini, adalah dalam Kategori 1 dan 2, manakala dua kes dalam Kategori 3, tiada kes dalam Kategori 4 dan hanya satu kes dalam kategori 5. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *