7 Lelaki Pakai ‘Vest’ Berlagak ‘Kontraktor’ Curi Kabel TM Dicekup

Hamizi (dua dari kanan) menunjukkan ‘vest’ yang dipakai suspek untuk mencuri kabel.

TUARAN: Tindakan sekumpulan pencuri kabel yang cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan memakai “vest” serta menggunakan kenderaan syarikat kontraktor berdaftar tumpas apabila mereka diberkas di sini, baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang Khamis lalu, semua tujuh suspek yang berusia 20 hingga 34 tahun terbabit dikesan melakukan kegiatan berkenaan di jalan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Tajau Termenung, di sini.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Mohd Hamizi Halim berkata, kegiatan kumpulan pekerja terbabit dikesan oleh pegawai keselamatan TM yang kemudiannya bertindak menahan mereka sebelum menghubungi polis.

Katanya, sebaik menerima maklumat sepasukan anggota dan pegawai polis terus dikerah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

“Hasil pemeriksaan lanjut, semua ketujuh-tujuh suspek didapati melakukan pemotongan kabel tembaga sepanjang kira-kira 190m.

“Turut dirampas ialah pelbagai peralatan yang digunakan dalam aktiviti mencuri kabel tembaga milik TM berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran di sini, hari ini.

Hamizi berkata, siasatan mendapati semua suspek yang ditahan adalah pekerja sebuah syarikat sub kontraktor yang bertanggungjawab membuat pemasangan kabel optik Unifi TM.

Katanya, dengan tertangkapnya semua suspek ini, pihaknya percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya lapan kes kecurian kabel yang dilaporkan sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Mohd Hamizi Halim (kanan) menunjukkan sejumlah kabel dianggar bernilai RM25,000 yang turut dirampas dalam serbuan itu.

“Polis percaya, rampasan kes kali ini termasuk kabel tembaga dianggarkan bernilai RM25,000 berdasarkan harga pasaran semasa

“Semua suspek kini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda jika disabitkan kesalahan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *