Kerajaan Sabah Arah Sekolah Terlibat Kluster Covid-19 Ditutup Serta Merta – Masidi

Masidi Manjun

KOTA KINABALU, 28 Jan : Kerajaan Sabah hari ini mengarahkan semua sekolah yang terlibat dengan kluster COVID-19 ditutup serta merta, bagi mengekang penyebaran pandemik itu terutama dalam kalangan pelajar, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Jurucakap COVID-19 Sabah itu berkata penutupan sekolah itu dilaksana untuk tempoh dua hingga tiga minggu, tertakluk kepada pengesahan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.

“Sesi pembelajaran bagi semua pelajar sekolah yang akan menghadapi peperiksaan utama boleh diteruskan, dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam kalangan pelajar, termasuk guru dan kakitangan insitusi pendidikan berkenaan.

“Ini (kluster institusi pendidikan) telah mencetuskan kebimbangan dan menjadi agenda perbincangan Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah, yang prihatin dengan laporan trend jangkitan COVID-19 yang berlaku di beberapa sekolah di negeri ini,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Beliau berkata bermula 1 Jan sehingga hari ini, terdapat 10 kluster institusi pendidikan dikesan di Sabah, terbaharu Kluster Batu 24 Nabalu direkodkan hari ini, melibatkan jangkitan di tiga daerah iaitu Kota Belud, Tuaran dan Kota Kinabalu.

Masidi berkata kes indeks kluster itu merupakan seorang wanita tempatan berusia 31 tahun didapati positif pada 17 Jan, dan saringan terhadap kontak keluarga mengesan tiga pelajar Sekolah Kebangsaan Dalas, Kota Belud positif.

“Saringan terhadap kontak rapat mengesan tiga lagi kes positf terdiri dari ahli keluarga dan rakan sekelas. Sehingga hari ini sebanyak 22 kes dikesan melibatkan kluster ini . Semua kes positif telah diasingkan dan diberi rawatan yang selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata 358 kes baharu COVID-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif 247,112 kes, selain dua kes kematian dicatatkan hari ini.

“Bilangan pesakit COVID-19 sembuh ialah 177 orang, menjadikan jumlah kumulatif 238,698 orang, manakala 792 pesakit sedang menerima rawatan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *