APMM Sabah Rampas 700 Tong Gas LPG Cuba Diseludup

Foto APMM Sabah

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya merampas 700 tong gas LPG yang dipercayai cuba diseludup, di barat daya Sungai Logpon, di sini, kelmarin.

Dalam operasi jam 6.15 petang itu, bot tempatan berkenaan ditahan untuk pemeriksaan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan bergerak dari arah Sungai Logpon menuju ke Pulau Sebatik.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, bot berkenaan ditemui bot ronda yang sedang dalam penugasan Ops Sejahtera dan Ops Cegah Pati Selatan.

Katanya, pemeriksaan mendapati bot berkenaan dinaiki lima lelaki berusia lingkungan 20 hingga 62 tahun.

“Pemeriksaan awal, tekong bot berkenaan mengemukakan permit membawa barangan kawalan untuk keperluan pemborong di Pulau Sebatik.

“Bagaimanapun, pemeriksaan fizikal mengesyaki bot terbabit membawa tong gas LPG secara berlebihan daripada jumlah yang ditetapkan di dalam permit,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Siva Kumar berkata, tekong dan semua penumpang kemudiannya ditahan bersama bot serta muatan dan diarahka

“Penggeledahan menyeluruh ke atas bot kargo berkenaan menemukan sejumlah 700 tong gas LPG dengan berat 14 kilogram setiap tong.

“Ia melebihi jumlah yang dibenarkan di dalam permit yang diluluskan oleh KPDNHEP iaitu sebanyak 260 tong,” katanya.

Siva Kumar berkata, siasatan lanjut akan dijalankan berhubung kemungkinan cubaan untuk menyeludup keluar barang kawalan berkenaan ke negara jiran.

Katanya, ia berikutan kedudukan Pulau Sebatik yang sangat hampir dengan sempadan Malaysia-Indonesia.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan semua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan yang disita dianggarkan bernilai RM167,000,”katanya.

Sehubungan itu, Siva Kumar berkata, Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).

Katanya, kerjasama dengan agensi-agensi lain juga akan terus diperkukuhkan demi memastikan undang-undang negara sentiasa dipatuhi.

“Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian kecemasan 999,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *