174 Hilang Tempat Tinggal Dalam Kebakaran Di Penampang

Sebuah rumah kongsi empat pintu dan empat lagi rumah jenis tidak kekal musnah terbakar di Penampang, petang tadi. – Foto BOMBA

PENAMPANG: Seramai 174 mangsa membabitkan 28 keluarga hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka di Jalan Mogonibung, Kampung Koidupan, di sini, musnah terbakar, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu, sebuah rumah kongsi empat pintu dan empat lagi rumah jenis tidak kekal terbakar 100%.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima makluman kejadian pada jam 3.39 petang.

Katanya, sepasukan 14 anggota dan pegawai bersama dua jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang serta Kota Kinabalu kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.

“Pasukan Bomba berjaya menyelamatkan sebuah kilang cermin dan empat buah rumah berhampiran daripada turut terbakar.

“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini manakala kesemua mangsa yang terlibat dipindahkan ke Dewan Nakasiba di Penampang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.29 petang seterusnya api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 7.41 petang. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *