Labuan Dilanda Jerebu | Sabah Post

Pemandangan di kawasan perindustrian minyak dan gas di Pulau Enoe, berlatar belakang pusat bandar Labuan. – Foto BERNAMA

LABUAN: Jerebu menyelubungi Labuan sejak semalam dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sederhana.

Walaupun hujan lebat pada awal pagi, bacaan IPU kekal pada tahap sederhana iaitu 88 semalam dan 58 setakat 4 petang ini.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Labuan Amir Hamzah Musa berkata keadaan itu berlaku disebabkan angin kencang yang membawa zarah-zarah halus dari luar Labuan.

“Pencemaran zarah halus adalah mikroskopik. Ia adalah zarah amat kecil yang boleh disedut dan tidak baik untuk kesihatan.

“Kami telah melakukan rondaan di sekitar pulau ini untuk memeriksa sama ada terdapat pembakaran terbuka atau kebakaran hutan namun tidak menemui sebarang insiden sedemikian,” katanya.

Amir menasihati orang ramai tidak melakukan pembakaran terbuka kerana ia adalah kesalahan di bawah Seksyen 29A atau 29B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Bacaan IPU 0-50 dianggap baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan 301 ke atas adalah berbahaya.

Orang ramai terutama pemandu turut menyedari keadaan kualiti udara yang kurang baik.

“Saya menunggang basikal awal pagi semalam serta hari ini dan terkejut kerana jarak penglihatan yang rendah,” kata Michael Lim yang risau dengan keadaan itu kerana dia menghidap penyakit asma.

Fadillah Khalid pula berkata dia berdepan kesukaran melihat bola ketika bermain golf bersama rakan di Kelab Golf Antarabangsa Labuan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *