5,000 Bakul Makanan Disalur Kepada Penduduk Terkesan Banjir Di Beluran

Menteri Pertanian dan Industri Makanan yang juga Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (tengah) menyampaikan bantuan bakul makanan kepada mangsa banjir sewaktu melawat dan menyampaikan bantuan tersebut di Kampung Simpangan hari ini.

BELURAN : Sebanyak  5,000 bakul makanan telah diagihkan kepada penduduk yang terkesan banjir di Daerah Beluran sejak Sabtu lepas bagi mengurangkan beban mangsa berkenaan, kata  Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata lebih banyak bakul makanan akan disalurkan kepada penduduk terjejas banjir di kawasan parlimennya.

“Sebahagian daripada mereka (mangsa banjir) tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS),  tetapi terpaksa berpindah ke kawasan lebih tinggi atau rumah keluarga disebabkan tidak semua tempat ada kemudahan PPS.

Ada kampung di kawasan Parlimen Beluran ini terkepung oleh air, walaupun rumah penduduk tidak tenggelam tetapi terputus hubungan disebabkan kenaikan air di sekeliling kampung,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bakul makanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di Kampung Simpangan Paitan dekat sini hari ini.

Ronald turut berdukacita atas dua kes kematian berkaitan banjir melibatkan seorang nelayan dan seorang pekerja ladang di Paitan baru-baru ini. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *