
TAWAU: Dua daripada tiga beradik ditemui lemas selepas bot dinaiki bersama enam individu lain karam di kawasan perairan Kampung Batu Payung, di sini, semalam.
Mangsa ialah Jaidi Muhaimin, 5, dan Saiful Muhaimin, 15, manakala kakak mereka, Rahena Muhaimin, 20, masih lagi dilaporkan hilang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, Jaidi ditemui kira-kira pukul 6.30 pagi manakala abangnya Saiful ditemui pada 8.58 pagi.
“Mayat Jaidi ditemui oleh penduduk kampung di pesisir pantai manakala Saiful di perairan Tinagat juga oleh penduduk kampung.
“Setakat ini, seorang lagi mangsa iaitu Rahena masih belum ditemui dan kami masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang semalam itu, bot berkenaan dipercayai cuba berpatah balik dari Kampung Rawa-Rawa sebelum karam.
Bot terbabit membawa sembilan orang namun enam daripada mereka berjaya diselamatkan penduduk kampung.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost