Covid-19 Belum ‘KO’, Tapi Di Sabah Semakin Baik, Kata Masidi

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun mengingatkan orang ramai terus mematuhi SOP untuk memastikan wabak terkawal.

KOTA KINABALU: Bilangan kes harian baharu Covid-19 di Sabah terus menurun dengan hanya 108 jangkitan dikesan dalam tempoh 24 jam lalu.

“Ini jumlah kes terendah di Sabah sejak Mei,” kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun ketika dihubungi.

Kali terakhir negeri itu merekodkan jumlah jangkitan bawah 100 adalah pada 18 Mei dengan 95 kes. Jumlah jangkitan tertinggi direkodkan pada 26 Ogos dengan 3,487 kes.

Masidi berkata, kes direkodkan hari ini juga kurang 19 berbanding semalam. Daripada 108 kes itu, 104 adalah Kategori 1 dan 2, manakala dua kes Kategori 3, dan masing-masing satu bagi Kategori 4 serta 5.

“Ramai di seluruh dunia menyambut hari ini sebagai ‘Boxing Day’. Covid-19 belum ‘KO’ tetapi nampak tanda-tanda keadaan semakin pulih jika kita terus mematuhi SOP dan nasihat berkaitan kesihatan lain,” katanya.

Beliau berkata, jumlah kes hari ini juga konsisten dengan kadar kebolehjangkitan 0.81 direkodkan semalam.

Katanya, bacaan lebih rendah itu menunjukkan kadar jangkitan semakin menurun dan terkawal.

Setakat semalam, Sabah merekodkan 239,482 kes kumulatif Covid-19 selain 232,071 kes pulih kumulatif. Sebanyak 2,770 kematian direkodkan keseluruhannya.

Keseluruhannya, 2,401,469 orang juga telah melengkapkan dua suntikan vaksin. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *