Sabah Terima RM14.44 Juta Dividen Interim Ketiga Daripada Sawit Kinabalu

Hajiji (tengah) merakamkan gambar kenangan selepas menyaksikan pembayaran dividen.

KOTA KINABALU : Kumpulan Sawit Kinabalu membayar dividen interim bagi suku ketiga tahun ini sebanyak RM14.44 juta kepada kerajaan Sabah hari ini.

Pembayaran dividen itu disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu Datuk Bacho Jansie kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong pada Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Sawit Kinabalu, di sini.

Penyerahan replika cek dividen interim itu disaksikan oleh Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor yang juga Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu.

Sawit Kinabalu merekodkan keuntungan RM333 juta sebelum cukai berbanding unjuran RM131 juta, tertinggi dalam sejarah sejak syarikat itu diperbadankan 25 tahun lalu.

Sementara itu Bacho berkata, melalui keuntungan yang diperoleh, Sawit Kinabalu akan membayar RM14.44 juta pada kerajaan Sabah sebagai dividen interim ketiga selepas pembayaran dividen bagi suku pertama dan kedua 2021 iaitu RM10 juta pada September lepas.

Jumlah dividen sebanyak RM24.44 juta pada tahun ini adalah pertambahan kepada jumlah dividen RM1.2 bilion yang telah dibayar kepada kerajaan negeri sejak 1996.

Turut berlangsung pada hari yang sama ialah majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sawit Kinabalu Sdn Bhd dan Hernan Corporation Sdn Bhd bagi projek kerjasama untuk menjalankan penanaman durian.

Kedua-dua syarikat itu akan membangunkan projek tanaman durian termasuk pemasaran dan pengeksportan durian asli serta produk nilai tambah berasaskan durian ke pasaran domestik dan antarabangsa seperti Australia, China, Jepun dan Amerika Syarikat.

MoU tersebut ditandatangani oleh Bacho yang mewakili Sawit Kinabalu dan Ketua Pegawai Eksekutif Hernan Corporation Sdn Bhd Anna Teo. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *