KUDAT: Niat seorang pekerja pusat pelancongan menyelamatkan pelancong wanita yang hampir lemas tidak kesampaian apabila lelaki terbabit ditemui lemas dalam kejadian di Pantai Hisbiscus Villa, Jalan Kampung Marang Parang, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Estilly Lieo Uainis, 19, dikatakan cuba seorang wanita warga asing terbabit namun tidak kesampaian apabila dia dilaporkan hilang selepas hanyut dibawa arus deras.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.38 pagi.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 11 anggota dan pegawai bersama sebuah jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.
“Mengikut laporan awal, wanita pelancong yang dikatakan hampir lemas terbabit berjaya diselamatkan oleh rakan sekerja mangsa.
“Manakala, mangsa pula dikatakan hilang hampir sejam sebelum ditemui oleh rakan sekerja lain yang berusaha mencarinya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ishak berkata, selepas ditemui, mangsa diberikan rawatan awal (CPR) oleh pasukan bomba namun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang turut hadir membantu di lokasi kejadian.
Katanya, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 1.35 petang.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost