Penurunan Kuasa Pelesenan Rangsang Industri Perikanan Laut Dalam Sabah – Ronald

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor menyaksikan penyerahan Surat Empowerment berkaitan pelesanan perikanan laut dalam Sabah oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Ronald Kiandee (kiri) kepada kerajaan negeri Sabah diwakili oleh Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah Datuk Dr. Jeffrey Kitingan di Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini. Turut menyaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

KOTA KINABALU, 4 Dis : Penurunan kuasa perlesenan perikanan laut dalam kepada Kerajaan negeri Sabah, dilihat mampu merangsang industri tersebut di negeri itu, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata penurunan kuasa itu daripada Ketua Pengarah Perikanan kepada Pengarah Perikanan Sabah antara lain, akan membolehkan Jabatan Perikanan Sabah menentukan lesen vesel yang perlu dikeluarkan mengikut kapasiti jumlah tangkapan seperti di Laut Sulu, Laut China Selatan dan Laut Sulawesi.

Katanya pemberian kuasa itu bermula dengan penerimaan permohonan, pengauditan, penilaian, kelulusan permohonan, sehingga pengeluaran permit dan lesen vesel, serta peralatan penangkapan ikan laut dalam Zon C2, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan secara bersama.

“Industri perikanan Sabah mempunyai potensi pembangunan yang tinggi dan harus terus dikembangkan, memandangkan pada ketika ini Sabah mempunyai seramai 30,486 orang nelayan yang menghasilkan sejumlah 206,703 tan metrik ikan setahun, dengan nilai melebihi RM1.2 bilion.

“MAFI juga sentiasa bersedia mengadakan sesi libat urus dengan kerajaan negeri, supaya kepentingan pengurusan sektor perikanan Sabah diambil kira, dalam cadangan penambahbaikan kepada Akta Perikanan 1985, yang akan dilaksanakan setelah kajian berkenaan penambahbaikan dimuktamadkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri taklimat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 di Bangunan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor.

Ronald berkata pada 18 Okt lalu mesyuarat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bersetuju memberi kuasa kepada Pengarah Jabatan Perikanan Sabah dan Sarawak untuk pengeluaran permit dan lesen laut dalam bagi vesel penangkapan ikan Zon C2.

Jelasnya penurunan kuasa itu membolehkan Sabah melaksanakan dasar-dasar sedia ada mahupun yang baharu, berkaitan pengurusan perikanan yang bersesuaian dengan keperluan industri perikanan di Sabah mengikut norma pengurusan perikanan antarabangsa.

Sementara itu Hajiji berkata Kerajaan Sabah menyokong sepenuhnya cadangan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan ia sejajar denganperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963.

“Rang undang-undang bagi meminda Perlembagaan Persekutuan itu adalah hasil daripada perbincangan  mesyuarat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 yang mengambil kira permintaan dari Sabah dan Sarawak,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *