Cadangan Had 2 Penggal Jawatan KM Sabah Akan Diteliti – Hajiji

Hajiji Noor melawat pameran khas Ketua Menteri Sabah sempena persidangan Bersatu Bahagian Tuaran

TUARAN: Ketua Menteri Hajiji Noor berkata, cadangan mengehadkan jawatan Ketua Menteri kepada dua penggal akan dibawa ke mesyuarat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk diteliti secara terperinci.

Katanya, usul itu boleh dilaksanakan jika semua pihak, khasnya rakan parti dalam GRS bersetuju dengannya.

“Usul ini kita akan bawa dalam mesyuarat GRS dan jika dipersetujui, kita akan bawa kepada kerajaan untuk dipertimbangkan.

“Perkara ini membabitkan pindaan perlembagaan negeri, jadi ia perlu diteliti secara terperinci oleh semua pihak, termasuk rakan parti dalam GRS.

“Selepas itu, barulah kita boleh meneruskan proses sewajarnya berhubung cadangan ini,” katanya selepas merasmikan persidangan Bersatu Bahagian Tuaran, di sini.

Usul itu dibentang dan diluluskan Bersatu Bahagian Tuaran, yang turut diluluskan Bersatu Bahagian Kudat, Penampang, Papar, Kimanis, Tenom, Pensiangan, Ranau, Sandakan, Libaran, Batu Sapi dan Tawau semalam.

Mengenai cadangan mendaftarkan GRS menjadi gabungan politik rasmi, Hajiji berkata, ia adalah cadangan baik dan boleh dipertimbangkan untuk dilaksanakan, tetapi perlu dibincangkan bersama pimpinan GRS.

“Ia adalah satu cadangan yang perlu diteliti dengan baik kerana kerajaan negeri didokong kerajaan GRS. Apa sahaja yang baik untuk politik Sabah dan GRS, kita akan teliti dengan sebaiknya.”

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah itu yang juga Pengerusi GRS, turut menyambut baik maklum balas Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin semalam yang menyuarakan kesediaan membincangkan cadangan mendaftarkan GRS.

“Ini satu perkembangan yang baik kerana Umno telah beri komen perkara ini, sebab itu saya sebut cadangan ini perlu dibawa dalam mesyuarat GRS, kalau ia baik untuk GRS, kenapa tidak kita lakukan?”

Cadangan itu disuarakan ADUN Usukan, Salleh Said Keruak baru-baru ini untuk mengukuhkan GRS dan mengelakkan perpecahan berikutan pertembungan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional di Semenanjung yang dibimbangi memberi kesan kepada kestabilan politik Sabah. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *