Guru Tabika Meninggal Dunia Dalam Kereta

Kenderaan di mana mayat wanita terbabit ditemukan. – Foto Ihsan Pembaca

KOTA MARUDU: Seorang wanita ditemukan meninggal dunia di dalam kereta miliknya yang diparkir berhampiran sebuah restoran di Pusat Komersil Langkon, di sini, semalam.

Mangsa, guru Tabika berusia 48 tahun terbabit pada awalnya ditemukan tidak sedarkan diri oleh orang awam yang kemudian menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung kejadian berkenaan jam 7.22 malam.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai polis kemudiannya dikerah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di dalam Perodua Myvi. Enjin dan muzik di di dalam kenderaan itu masih terpasang.

“Sebaik kenderaan berjaya dibuka, pemeriksaan awal fizikal yang dijalankan pegawai perubatan Hospital Kota Marudu mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zairolnizal berkata, hasil temu bual salah seorang anak mangsa, mendapati mangsa keluar rumah kira-kira 4 petang untuk mengambil bunga di Simpang 3 Langkon.

“Ketika itu, mangsa dikatakan tidak menunjukkan keadaan yang tidak sihat dan hanya mengadu sakit kepala.

“Siasatan lanjut yang dijalankan tidak menemukan sebarang kesan kecederaan yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah,” katanya.

Menurutnya, bedah siasat akan dijalankan untuk mengetahui punca sebenar kematian mangsa.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *