Perodua Aruz Terbabas Sebelum Terbakar Di Jalan Lok Kawi

Anggota bomba memadam kebakaran membabitkan Perodua Aruz di Jalan Kem Lok Kawi. – Foto BOMBA

PENAMPANG: Seorang lelaki berdepan detik cemas selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum terbakar di Jalan Kem Lok Kawi, Putatan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 5.50 pagi itu, mangsa berusia 30 tahun yang memandu Perodua Aruz dipercayai dari arah Putatan menuju ke Lok Kawi.

Setibanya di lokasi kejadian, kenderaan berkenaan dikatakan hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam longkang pembahagi jalan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.57 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sembilan anggota dan pegawai serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Kenderaan berkenaan didapati terbakar sepenuhnya dengan keadaan api masih marak.

“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan sumber air dari tangki jentera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan api berjaya dikawal pada jam 6.26 pagi.

Katanya, pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi tamat pada jam 6.41 pagi. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *