Diplomat & Ekspatriat Boleh Masuk Sabah Tanpa Kelulusan Khas Mulai Hari Ini – Masidi

Masidi Manjun berkata, pemegang MyPR bukan Sabah atau Kad Permit Masuk atau Endosmen Permit Masuk dalam pasport yang sedang bermastautin di Semenanjung, Sarawak dan Labuan, juga dibenarkan masuk ke Sabah untuk tujuan sosial.

KOTA KINABALU: Diplomat dan ekspatriat termasuk tanggungan mereka yang sedang bermastautin di Semenanjung, Sarawak dan Labuan, dibenarkan masuk ke Sabah bagi tujuan lawatan sosial tanpa memerlukan kelulusan khas kerajaan negeri, berkuat kuasa esok.

Bagaimanapun Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Masidi Manjun berkata kumpulan berkenaan, wajib memiliki pas Imigresen Malaysia yang sah tempoh untuk masuk ke negeri itu.

Katanya pemegang MyPR bukan Sabah atau Kad Permit Masuk atau Endosmen Permit Masuk dalam pasport yang sedang bermastautin di Semenanjung, Sarawak dan Labuan, juga dibenarkan masuk ke Sabah bagi tujuan lawatan sosial tanpa memerlukan kelulusan itu.

“Golongan ini wajib mengemukakan pasport semasa pemeriksaan imigresen di pintu-pintu masuk Sabah,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mengulas mengenai perkembangan harian kes Covid-19 di Sabah, Masidi berkata hampir semua daerah di negeri itu mencatatkan jumlah kes yang lebih tinggi daripada sebelumnya.

“Setelah merekodkan jumlah kes yang rendah semalam, Sabah mencatat peningkatan kes baharu yang tinggi sebanyak 156 kes. Jumlah kes yang direkodkan hari ini ialah 549 kes,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *