
KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sebuah kontena berisi minuman keras tidak bercukai dalam operasi serbuan di KKIP Timur, di sini, kelmarin.
Dalam operasi jam 10 malam itu, kontena berkenaan dikesan ditinggalkan bersama sebuah lori treler dalam keadaan berkunci tanpa penjaga.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, operasi dijalankan berdasarkan kepada maklumat awam.
Katanya, selepas pemerhatian selama tiga jam, pasukan operasi terus melakukan serbuan dan membuka kontena berkenaan untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemui 1,890 karton minuman keras jenama Cool Beer disyaki tidak bercukai.
“Semua minuman keras berkenaan kemudiannya dirampas dan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Abdul Rani berkata, jumlah keseluruhan rampasan termasuk lori treler dan kontena dianggarkan bernilai RM595,833 berdasarkan harga pasaran semasa.
Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Kastam 1967. – Asiatimes
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost