Lelaki Pengedar Syabu Ditahan Di Membakut

BEAUFORT: Seorang lelaki yang dipercayai sedang menjalankan aktiviti pengedaran dadah ditahan polis dalam serbuan di Membakut, di sini, semalam.

Dalam operasi 10.45 pagi itu, lelaki berusia 40 tahun terbabit ditahan bersama 10.70 gram dadah jenis syabu.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, bertindak atas maklumat awam, suspek ditahan di sebuah kawasan parkir berhampiran sebuah kedai ‘hardware’.

Katanya, pemeriksaan lanjut terhadap Proton Saga yang dipandu suspek membawa kepada penemuan satu bekas warna yang disembunyikan di dalam kenderaan.

“Polis mendapati bekas berkenaan berisi satu keratan straw bersama 14 paket kecil plastik lutsinar mengandungi hablur jernih disyaki dadah syabu bernilai RM1,000.

“Suspek terus ditahan dan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek turut didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Katanya, siasatan awal mendapati turut mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *