91 Ekor Babi Terjejas, Daerah Papar Diisytihar Kawasan Wabak ASF

Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan

KOTA KINABALU: Susulan kematian 91 ekor babi di dua kampung di Papar, daerah berkenaan kini disytiharkan sebagai kawasan wabak demam babi afrika (ASF).

Turut diisytiharkan sebagai kawasan wabak ialah Kota Kinabalu dan Tenom.

Sehingga kini, 22 daerah di Sabah diisytiharkan sebagai kawasan wabak ASF pada tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, kes yang dilaporkan di tiga daerah terbaru ini agak terpencil.

Maka, kerajaan belum bercadang untuk melupuskan kesemua babi di ketiga-tiga daerah tersebut yang mula dikesan pada 14 September Papar.

Walau bagaimanapun, hanya daerah Papar sahaja melaporkan jangkitan yang tinggi dengan 91 ekor babi peliharaan terjejas dalam tempoh dua minggu di Kampung Kogopon dan Kampung Purak dan ia menyebabkan kerugian sebanyak RM50,000.

“Setakat ini, wabak tersebut hanya menjangkiti babi peliharaan dan tidak menjangiti babi ternakan komersial. Babi ternakan komersial di Papar mempunyai kira-kira 9,400 ekor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, babi ternakan masih bebas daripada wabak ASF berdasarkan beberapa ujian yang dijalankan.

Maka, beliau yakin bekalan daging babi di pasaran tempatan tidak akan terjejas pada masa ini.

Sebagai langkah mengelakkan penularan wabak, kementerian akan mengawal pergerakan keluar babi dan produk babi antara daerah-daerah terlibat, meningkatkan kempen kesedaran dalam kalangan penduduk kampung di kawasan terlibat serta memantau aktiviti di ladang bagi daerah-daerah terjejas.

Awal tahun ini, langkah kawalan yang sama turut dilakukan di 19 daerah yang diisytiharkan kawasan wabak ASF dan usaha itu ternyata berkesan apabila tujuh daerah mula diklasifikasikan sebagai zon merah dan zon kuning selepas tiada kes baharu wabak ASF dilaporkan dalam tempoh 60 hari.

Tujuh daerah itu adalah Pitas, Kota Marudu, Beluran, Telupid, Tongod, Kinabatangan dan Sandakan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *