Dua Kru Melecur Dalam Insiden Bot Terbakar Di Sandakan

Kesemua mangsa yang melecur berjaya diselamatkan untuk menerima rawatan lanjut.

SANDAKAN: Dua orang kru bot melecur manakala dua orang lagi selamat dalam insiden kebakaran bot di perairan Pulau Billean dekat sini hari ini, menurut kenyataan media tentera. 

Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) menerusi Detasmen Bot Sandakan dan Tim Quick Reaction Force telah memberikan bantuan kepada mangsa bot terbakar kira-kira jam 12.30 tengah hari. 

Kru bot ini melecur teruk dalam kejadian kebakaran bot di Sandakan. Foto Markas ATB 2

Dalam kejadian tersebut, bot yang dinaiki oleh empat orang warga tempatan tersebut telah terbakar sewaktu menghidupkan pam air dengan menggunakan teknik “jump-start” ketika sedang berlindung di Pulau Billean kerana hujan lebat. 

“Bot yang telah terbakar terpaksa dilepas dan hanyut menuju ke Pulau Tegipil yang terletak berhampiran pulau tersebut,” menurut kenyataan tersebut. 

“Hasil maklumat dari salah seorang mangsa terlibat, memaklumkan bahawa mereka sedang menaiki bot dari Sandakan menuju ke Kudat untuk urusan perniagaan sangkar ikan. 

“Walau bagaimanapun, kerana keadaan cuaca iaitu hujan lebat serta mengalami masalah bot, mereka terpaksa berlindung sementara di Jeti Pulau Billean milik Reef Guardian.” 

Reef Giardian merupakan badan bukan kerajaan terlibat dalam pemuliharaan terumbu karang.

Kesemua mangsa yang melecur berjaya diselamatkan untuk menerima rawatan lanjut.

Keempat-empat mangsa bot terbakar tersebut telah dibawa menuju ke Pulau Lankayan oleh bot milik Reef Guardian,  diserahkan kepada Detasmen Bot Sandakan ATB 2 untuk dibawa ke Sandakan menggunakan bot Viper 7 bagi menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent, di sini. – Harian Ekspress

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *