Sabah Benarkan Solat Di Masjid, Surau Mengikut Kapasiti Ditetapkan – Masidi

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah bersetuju membenarkan solat Jumaat dan solat fardhu di masjid atau surau dengan jumlah individu adalah 50% daripada kapasiti rumah ibadat berkenaan selain dengan penjarakan satu meter.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, kuliah maghrib, kuliah dhuha, kelas agama dan seumpamanya juga dibenarkan mengikut bilangan kapasiti yang dibenarkan.

“Selain itu, mesyuarat agung jawatankuasa masjid dan surau turut termasuk dalam kebenaran ini.

“Majlis akad nikah pula dibenarkan diadakan di dewan atau ruang khas masjid mengikut kapasiti dewan dan ruang khas tersebut.

“Pengurusan jenazah serta ziarah kubur dibenarkan mengikut bilangan tidak lebih 30 orang.

“Individu yang telah lengkap divaksin akan diberi keutamaan dalam kebenaran itu,” katanya dalam kenyataan harian perkembangan Covid-19 Sabah, hari ini.

Terdahulu, Masidi berkata, 691 kes Covid-19 baharu dicatatkan di Sabah, hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kini sebanyak 208,197 kes.

Katanya, sebanyak 15 lagi kes kematian dilaporkan iaitu tiga kes di Lahad Datu, dua kes di Kota Kinabalu dan Kota Marudu manakala Beaufort, Keningau, Kota Belud, Nabawan, Penampang, Sandakan, Tenom dan Tuaran masing-masing
mencatatkan satu kes kematian.

“Bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam ini kerana ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian daripada tarikh sebenar,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *