Inspektor Bahagian Narkotik Antara Lima Polis Mengaku Tidak Bersalah Terima Suapan

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Lima anggota polis termasuk seorang Inspektor mengaku tidak bersalah menerima suapan di Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini.

Kelima-lima tertuduh yang didakwa menerima suapan keseluruhan sebanyak RM8,020 membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menerima suapan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap seorang lelaki yang ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

Tertuduh pertama, Inspektor Joevian Gubal Michael, 41, yang bertugas di Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Belud berhadapan empat pertuduhan menerima suapan sebanyak RM2,400.

Semua duit berkenaan dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya antara 16 November 2016 hingga 17 Disember 2017.

Tertuduh kedua, Sarjan Azizul Ismail, 32, pula berhadapan empat pertuduhan menerima suapan sebanyak RM900.

Tertuduh yang turut bertugas di IPD Kota Belud menerima suapan yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya antara 24 April 2017 hingga 30 Julai 2017.

Tertuduh ketiga, Lans Koperal Hairul Amid, 36, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah berhadapan lima pertuduhan.

Tertuduh ketiga itu menerima suapan sebanyak RM2,000 ke dalam akaun bank miliknya antara 11 Ogos 2017 hingga 9 Jun 2018.

Tertuduh keempat, Lans Koperal Afizul Azwan Anuar, 29, yang bertugas di IPD Kota Belud, berhadapan empat pertuduhan menerima suapan sebanyak RM470 antara 13 April 2017 hingga 6 Mei 2017.

Manakala tertuduh terakhir, Koperal Abdullah Bakir, 44, yang turut bertugas di IPD Kota Belud pula berhadapan 18 pertuduhan menerima suapan sebanyak RM2,250 antara 14 April 2014 hingga 1 Oktober 2015.

Mahkamah membenarkan Joevian dan Hairul diikat jamin dengan wang jaminan sebanyak RM10,000 bersama RM4,000 deposit.

Manakala tertuduh kelima pula dibenarkan ikat jamin dengan nilai yang sama namun dengan RM5,000 deposit bersama seorang penjamin tempatan selain diminta untuk tidak mendekati saksi.

Sementara itu, bagi tertuduh kedua iaitu Azizul pula dibenarkan ikat jamin dengan wang jaminan sebanyak RM8,000 dengan deposit RM4,000.

Manakala tertuduh keempat, dibenarkan ikat jamin dengan nilai yang sama namun dengan RM3,000 deposit bersama seorang penjamin tempatan.

Hakim Abu Bakar kemudiannya mengarahkan semua tertuduh untuk melaporkan diri sekali dalam dua bulan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Selain itu, mereka turut diarahkan untuk menyerahkan pasport masing-masing kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes kelima-lima tertuduh pada 24 November depan.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Sabah, Nurul Izzati Sapifee manakala tertuduh diwakili peguam masing-masing. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *